Pages

Monday, 21 March 2016

TINTAKU KE 63...TAKDIR YANG MENYINGGAH

TAKDIR YANG MENYINGGAH
(seketika buat Allahyarham “abang”)

Usai fajar sidiq melabuh tirai
Aku menyeka airmata yang berderai
Dengan kalimah tauhid dan lafaz syahadah yang perit
Aku tahlilkan pemergianmu tanpa sedikitpun rasa sakit

Duhai suami kekasih hatiku
Saat kau lafazkan ijab buatku
Saat itu jua aku menyerahkan segala jiwa raga
Biarpun kau tidak tahu apa apa
Niatku untuk bersama menjulang takhta isteri tercinta
Menjadi penyejuk hatimu dan penawar di jiwa
Telah aku mukimkan segalanya agar kita berkongsi pahala
Melangkah ke gerbang indah
Menukil potret kehidupan yang cerah

Telah kulakar  asuhan di jiwaku
Tanpa engkau tahu
Biarpun segala onak dan ranjau yang singgah mencalar
Biarpun segala lumpur yang terpalit singgah melahar
Namun atas patrinya sebuah janji yang masih segar
Aku bertahan demi zuriatmu yang bakal mekar

Duhai suami belahan jiwaku
Usah menyujud di kakiku
Segala dosamu telah ku gantungkan ke langit ke tujuh
Aku juga makhluk-NYA hanya mampu berserah
Bukan sifatku untuk mengalah mahupun melatah tanpa arah
Aku terima karma ini demi takdir yang menyinggah
Kerana atas janji kita andai terubah haluan dari fitrah
Kau mahupun aku akan kekal demi cinta yang terluah

Sumpah demi zuriat yang membenih indah
Akan aku khabarkan segala cerita tentang “ayah”
Biarpun tiada kesempatan menatap wajah
Namun,
Darahmu merah menyatu bersamanya demi kehidupan yang gah
Akan kucitrakan dengan santun dan hikmah
Biar dia sekuat ibu menerima takdir ini tanpa nafsu amarah

Duhai suami kekasih batinku
Syukur kita diberi ruang biarpun terpisah jurang
Selama dirimu di kamar besi itu
Kita sudahi dengan 30 juzuk Kitabullah
Tatkala helaian terakhir menjadi hentian surah
Kau utuskan aku sekeping warkah
Aku puas bilamana ruang antara kau dan ALLAH
Sangat akrab tanpa sedetik waktu kau ingkar menyerah
Saban malam tangismu membasahi sejadah
Seketika dulu menjadi penyaksian hantaran nikah
Kini..kau ditemani pemberianku itu dengan cinta dan doa yang tidak bernoktah.

Damailah duhai suamiku
Usah khuatiri hidupku yang bakal bertamu
Sekilas ruang yang menyinggahi batinku
Akan ku suburi dengan kalimah zikir dan kalungan doa yang bersatu
Masih terasa tatkala jemarimu dingin menyentuhi ubun-ubunku
Untaian doamu menjadi nadi malar di setiap inci zarahku
Selagi takdir ini belum jemu menyinggahi jasadku
Selagi itu jualah aku belum jemu dengan kesetiaanku
Perjuanganku masih belum selesai
Biarpun aku bakal merempuh badai
Kekuatanku masih ada buat warismu yang tinggal
Usai duhaku esok hari
Kita bertemu lagi dengan haruman kemboja pagi
Pusaramu akan sentiasa mewangi
Seharum cintaku padamu yang tidak akan mati
Nantikan aku di gerbang jannah
Sebagai bidadarimu yang indah.

~Aku nukilkan balasan sepi dari isteri “arwah abang”.Bertuah kau punyai isteri yang solehah dan tahu menimbang cara secara didik hikmah. Mudahan segala taubatmu diterima melebihi dari insan-insan yang tiada henti amalnya namun bersifat ujub dan riak sentiasa. Mudahan menjadi ruang fikrah dan tanzir hati kepada isteri-isteri yang mengalami nasib seperti “arwah abang “ ini agar tidak menghukum dan membenci setiap kematian pasangan biarpun dosanya terlalu beraja di dunia  namun siapa sangka, dengan terdidiknya jiwa kita sebagai isteri agar santun dan hikmah bersyarie dalam menghadapi situasi sebegini, pintu taubatnya akan lebih mahal dari kita yang tidak pernah melakukan dosa. Sekiranya segalan disandarkan kepada Allah, nescaya amar makruf nahi mungkar dapat kita tangani biarpun sedikit asalkan istiqomah.Ayuh bersama kita muhasabah.

 *gambar sekadar hiasan dan tiada kena mengena dengan nukilan puisi*

Ainnurmustaqim
210316
1400pagi
BAITURRAHMAN.




0 comments: