Pages

Monday, 14 March 2016

TINTA 61...“AMPUNKAN ADIK…..IBU”


Izinkan adik menyebut namamu
Tiada jurang yang bisa menjarakkan
Benih ini tumbuh malar dirahim mu ibu 
Betapa adik rindu tika jemarimu mengusap dinding perut itu
Adik akan menyusur laju
Seketika menyandarkan pipi mulus ini
Dan kulit kita bersatu
Adik merasai belaian itu ibu
Entah berabad lama adik akan terkurung di alam ini
Namun
Adik tidak pernah kesunyian
Kerana darah kita bersatu demi hayat kehidupan
Adik ingin berada dipelukan
Ibu mahu tahu
Adik juga melakar impian
Ingin menyapa alam kelahiran
Ingin merenung wajah ibu kesayangan
Mungkin juga ada ayah sebagai teman
Adik akan menangis dengan jeritan
Agar ibu memeluk adik dengan kerinduan
Mengucup pipi adik yang kemerahan
Menyuapkan kalimah tauhid di pendengaran
Ketika tiba detik bahagia itu
Suara ibu hilang ditelan kabus malam
Adik seorang diri dalam kelam
Diratah malam dingin berteman kulit mungil
Sakit pijar dilapah agas malam dan serangga hitam
Berlantaikan tanah dan rumput hijau
Adik muhun setitis air susu kehausan
Mengalas perut adik yang kelaparan
Adik seorang diri disini
Membilang kerak dosa ibu ayah yang memungkiri
Adik tidak mampu menyambung takdir lagi
Dosa dan karma apa yang adik warisi
Izinkan adik pergi selamanya dari hati
Kini adik dipembaringan abadi
Kembali mengadap pencipta hakiki
Adik sedar kelahiran ini tidak diingini
Terimakasih ibu memberi ruang adik menumpang
Dirahimmu berkongsi kasih cinta dan sayang
Adik hidup bertunjangkan darah yang bersarang
Biarpun kelahiran adik terbuang
Ada insan yang menghantar adik pulang
Andai ada jodoh kita nanti
Adik menanti ibu dan ayah di pintu ini
AMPUNKAN ADIK IBU..
Usah ditutupi cuping itu
Usah berlari lagak pemburu
Seka airmata deritamu
Bertahun tumpah tidak bisa membilas khilaf itu
Andai taubat tidak jelma dikalbumu
Adik tetap akan menunggu
AMPUNKAN ADIK IBU….
~atas rasa naluri keibuanku yang menggegar ruang hati, aku lahirkan sebuah keluhan sunyi dengan deraian airmata tanpa henti, dari bisikan seorang anak kecil yang tidak kesampaian hajatnya, hayatilah sebagai ruang fikrah agar kita menyedari dan menjauhi, ZINA ITU MEMBUNUH SESUATU YANG SUCI, yang ingin malar seperti insan lain..suratan azali membawanya pulang kembali...hayatilah.. kredit untuk Syed Sohleh Syed Jalaluddin kerana menjentik ruang ilhamku dari kisah benar hidupmu yang menguruskan jenazah anak-anak yang tidak berdosa ini



~puisi ini telah meraih ribuan insan yang berkongsi rasa kesedihan dari naluri "adik" di facebook..terimakasih atas kesudian kalian mudahan cebisan yang sedikit ini dapat menjentik ruang hati agar kita memelihara iman dan taqwa dalam menuju redha Allah swt~

2 comments:

ebri2010 said...

Alhamdulillah...puitis penamu menulis

Unknown said...

terimakasih ebri2010...maaf baru tersedar dan ternampak komen ini..terimakasih sudi mendengar luahan 'adik'